[Utusan] Terapi sel tunjang
KITA biasa mendengar, membaca malah melihat sendiri di kaca televisyen tentang kecederaan yang sering dialami ahli sukan seperti kerosakan tisu ligamen, otot tendon kaki terkoyak atau putus, masalah lutut atau tulang rawan semakin haus.
Ahli-ahli sukan sering mengerahkan segala tenaga sehingga ke tahap maksimum menjadikan bahagian-bahagian tertentu tubuh mereka tidak mampu bertahan dan akhirnya tercedera.
Kecederaan sedemikian memerlukan masa yang panjang untuk sembuh dengan sendirinya, bagaimanapun jangka masa penyembuhan tersebut pasti mengganggu jadual latihan serta pertandingan yang padat.
Jika tidak kena pada gayanya, mungkin ahli sukan tersebut terpaksa bersara awal biarpun mereka sedang di puncak kejayaan.
Kini terdapat teknologi baharu dibangunkan oleh penyelidik tempatan yang mana bukan sahaja dapat mempercepatkan penyembuhan malah jika dikembangkan mampu menyaingi teknologi perubatan sedia ada di dunia.
Menurut Konsultan dan Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC), Dr. Saw Khay Yong berkata, penemuan teknologi pemindahan sel tunjang (stem cell) untuk tujuan penyembuhan merupakan inovasi baharu di dunia.
“Di sini saya bukan bercerita berkenaan inovasi di dalam bidang perubatan yang diiktiraf di Malaysia sahaja, tetapi telah terbukti dan turut diiktiraf di luar negara.
“Teknologi perpindahan sel tunjang yang dibangunkan oleh KLSMC adalah teknologi yang terkini untuk membantu mempercepatkan penyembuhan masalah tulang rawan, ligamen, tendon serta kerosakan tisu,” katanya ketika ditemui di KLSMC, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Dr. Khay Yong, sel tunjang di dalam tubuh manusia dewasa bertindak sebagai satu sistem pemulihan kepada tubuh badan dan secara semulajadinya, sel tersebut membolehkan penggantian sel lama dan sel yang rosak di dalam organ manusia.
Bagaimanapun, dalam keadaan biasa tisu yang telah rosak hanya digantikan dengan parut yang mana fungsi asal tisu tersebut telah berkurangan atau tidak mampu berfungsi seperti sedia kala.
Bagi tulang rawan yang tercedera, bahagian tersebut sukar untuk pulih seperti sedia kala kerana tiada aliran darah seperti tisu lain.
Justeru, terapi sel tunjang merupakan antara solusi ideal untuk membentuk tisu tulang rawan yang telah rosak kembali kepada bentuk dan fungsi asalnya.
Kebanyakan penyelidik percaya, terapi sel tunjang mampu mempercepatkan rawatan perubatan terutamanya di bidang perubatan regeneratif.
Sebagai pakar bedah lutut dan bahu, Dr. Khay Yong menjelaskan jangka masa penyembuhan bahagian tubuh terutamanya lutut yang panjang amat mengganggu rutin harian seseorang pesakit.
Apa itu sel tunjang? Dalam bidang perubatan, sel tunjang di kenali sebagai sel di peringkat awal di dalam tubuh badan manusia dan terhasil menerusi sum-sum tulang.
Menyedari kelebihan sel tunjang dalam penyembuhan tisu manusia, satu kajian telah dilaksanakan oleh pakar-pakar perubatan di KLSMC menerusi kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Pada peringkat awalnya kami melaksanakan uji kaji penuaian sel tunjang dalam darah terhadap haiwan.
“Dalam kajian tersebut kadar penyembuhan terhadap tisu yang rosak kepada haiwan dilihat amat pantas dan seterusnya kaedah yang sama dilaksanakan kepada manusia iaitu pesakit yang mengalami kerosakan tisu seperti tulang rawan, tisu ligamen, tendon dan sebagainya,” katanya.
Untuk dituai, sel tunjang perlu dipaksa keluar daripada sum-sum tulang pesakit ke dalam aliran darah menggunakan sejenis hormon yang dikenali sebagai G-CSF.
Bagaimanapun G-CSF juga merupakan hormon yang dihasilkan oleh tubuh badan yang mana terlibat dalam dua fungsi utama iaitu untuk membantu sel tunjang daripada sum-sum tulang memasuki aliran darah dan kedua membantu menghasilkan sel tunjang dalam sum-sum tulang.
Ujar Dr. Khay Yong, seseorang pesakit itu memerlukan dua hingga empat kali suntikan G-CSF sehari bagi memastikan sel tunjang yang mencukupi keluar daripada sum-sum tulang dan memasuki aliran darah sebelum dituai.
“Suntikan G-CSF akan dilakukan di bawah kulit sekitar abdomen pesakit dan kesan sampingan yang dialami secara umumnya adalah amat minimum seperti ruam, kesakitan tulang dan rasa kurang selesa dan kemerah-merahan sekitar kawasan yang disuntik.
“Bagaimanapun jarang sekali berlaku simptom seperti batuk, demam dan kadar pernafasan yang tidak stabil, jika simptom tersebut terjadi kita nasihatkan pesakit tersebut untuk menemui doktor secepat mungkin,” katanya.
Sebelum penuaian, ujian darah akan dilakukan bagi memastikan jumlah sel tunjang berada pada tahap yang mencukupi sebelum diambil.
Sebuah mesin pengasingan sel tunjang khas akan digunakan bagi mengasingkannya dan darah akan dikembalikan kepada tubuh badan pesakit.
Pada peringkat awal proses pengasingan tersebut, pesakit mungkin mengalami sedikit pening dan rasa tersebut boleh dikurangkan dengan berbaring atau memperlahankan aliran darah pada mesin pengasingan.
Proses pengasingan akan mengambil masa selama dua jam dan pesakit tidak perlu berpuasa malah boleh mengambil ubat-ubatan biasa, makan makanan ringan, membaca atau menonton televisyen.
Setelah dituai, sel tunjang boleh terus digunakan dengan menyuntik sel tersebut pada bahagian yang dirawat atau dibekukan untuk kegunaan masa hadapan.
Penggunaan sel tunjang tersebut dalam mempercepatkan pertumbuhan tisu mahupun tulang rawan telah terbukti berkesan.
Malah teknologi tersebut didapati berkesan bagi membantu merawat kerosakan tulang rawan artikul (articular cartilage), tulang dan tisu lembut.
Ujar Dr. Khay Yong, merawat kerosakan tisu sebenarnya merupakan satu cabaran yang besar dalam dunia perubatan masa kini contohnya tulang rawan artikul sukar untuk sembuh sepenuhnya apabila bahagian tersebut cedera.
Kaedah artroskopik sedia ada menggunakan stimulasi sum-sum atau perpindahan tulang rawan sihat ke kawasan yang rosak dan pelbagai teknik turut diperkenalkan antaranya microfracture, chondal drilling, osteochondral autograft transfer, ostechondral allograft transplant dan juga autologous chondrocyte implantation.
Bagaimanapun menurut pengalaman pakar-pakar bedah, kaedah rawatan tersebut telah menimbulkan pembentukan fiber tulang rawan (fibrocartilage).
Malah, dalam kes-kes tertentu yang melibatkan ahli sukan berprestasi tinggi rawatan tersebut akan menyebabkan pembentukan tulang rawan hialin (hyaline cartilage formation).
Sejak teknik pemindahan sel tunjang tersebut diperkenalkan, KLSMC telah dikunjungi oleh pesakit bukan dari dalam negara bahkan seluruh dunia.
“Rata-rata pesakit antarabangsa yang mendapatkan rawatan di KLSMC mengetahui teknologi tersebut menerusi artikel ilmiah yang diterbitkan oleh pihak kami.
“Di sini kami bukan sahaja mengkaji dan mempraktikkannya, malah kami juga turut menulis artikel perubatan ilmiah agar masyarakat dunia mengetahui teknologi hasil inovasi anak tempatan ini,” katanya.
Sehingga kini hampir 10 hingga 20 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di KLSMC adalah rakyat negara asing manakala selebihnya adalah rakyat tempatan dan daripada jumlah tersebut, seramai 450 pesakit telah mendapatkan rawatan terapi sel tunjang sejak enam tahun lalu.
Justeru, teknologi perubatan itu juga dilihat dapat mengembangkan sektor pelancongan kesihatan (Health Tourism) di kalangan masyarakat dunia ke Malaysia.
Antara personaliti terkenal yang telah mendapatkan rawatan di KLSMC adalah pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2009 berikutan kecederaan pada lututnya (knee tendinitis).
Sejak dari itu, Chong Wei telah menjalani pelbagai rawatan dan terapi di KLSMC sehingga kini.
Source: Utusan Online
Download Full Article