KLSMC ditauliah sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan AFC
KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) ditauliahkan sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang pertama di Asia.
KLSMC dan klinik perubatan sukan yang bekerjasama dengan pusat berkenaan, Klinik Setia terletak di Jalan Gombak, dianugerahkan sebagai pusat perubatan pilihan bagi memberi rawatan kepada pemain bola sepak di rantau ini, oleh Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.
Dalam ucapannya, Shaik Salman berkata AFC komited untuk memperluaskan skop dan akses kepada pemain bagi mendapatkan penjagaan dan rawatan bertaraf dunia.
“Visi dan misi AFC menyatakan bahawa hasrat kami adalah untuk memastikan kejayaan bola sepak Asia dan perubatan sukan memainkan peranan penting dalam menyempurnakan objektif tersebut.
“Ia juga merintis jalan bagi meningkatkan kemampuan pengamal perubatan melalui kerjasama yang baik, berkongsi pengetahuan saintifik serta pembinaan keupayaan dalam perubatan,” katanya.
Pusat Kecemerlangan Perubatan AFC dilancarkan pada 2017 dengan tujuan untuk memastikan pemain bola sepak diberikan diagnosis, rawatan dan pemerhatian selepas menjalani rawatan.
Pentauliahan itu diberikan kepada pusat perubatan yang menunjukkan kepimpinan dalam klinikal, kepakaran penyelidikan dan pendidikan, langkah pencegahan kecederaan serta pengalaman dalam menguruskan kecederaan pemain bola sepak di peringkat tertinggi.
Sementara itu, Pengasas KLSMC yang juga Pengarah KLSMC, Dr Saw Khay Yong berkata, dengan pengiktirafan AFC itu, beliau percaya, KLSMC mampu meletakkannya dalam kedudukan sebagai pendahulu dalam perubatan sukan, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di dunia.
“Sebagai salah sebuah pusat perubatan terkemuka di Malaysia, kita digalakkan mematuhi dan menggunakan piawaian perubatan dan penjagaan kesihatan yang tertinggi.
“Kita sangat berbangga dapat meletakkan Malaysia di pentas antarabangsa dalam penyediaan rawatan untuk kecederaan berkaitan sukan dan penjagaan terhadap atlet,” katanya.-BERNAMA
Leave a reply