Apa itu sel stem?

What are stem cells?

Sel stem boleh dianggap sebagai sel induk yang mampu berubah membentuk pelbagai jenis sel di dalam badan kita. Umumnya, sel stem dikelaskan mengikut potensinya untuk berubah atau membeza (differentiate) kepada sel yang mempunyai fungsi khusus iaitu unipotent, multipotent atau pluripotent. Sel stem juga turut diklasifikasikan mengikut sumber di mana sel stem diperoleh, contohnya sel stem embrionik, sel stem fetus dan sel stem dewasa.

Apa itu sel stem dewasa?

Harvesting-Patient1

Sel stem dewasa adalah sel stem yang diperolehi daripada tubuh badan orang dewasa yang membantu membaik pulih tisu. Jika dibandingkan dengan sel stem embrionik dan sel stem fetus , sel stem dewasa mempunyai potensi yang lebih rendah untuk membentuk pelbagai jenis sel. Namun begitu, sel stem dewasa tidak membabitkan isu etika yang selalunya dikaitkan dengan sel stem embrionik atau masalah bilangan sel stem yang rendah dari penuaian sel stem fetus (contohnya sel stem darah tali pusat).

klsmc_stem_cell3

Sel stem sangat unik berbanding sel-sel lain kerana sel ini mampu membahagi atau menduplikasi dirinya sendiri, menjana semula dan membaikpulih.
Sel stem memiliki dua ciri yang utama iaitu:

  • Mampu membeza kepada pelbagai jenis sel
  • Mampu membahagi untuk tempoh masa yang tidak terbatas

Sel stem mempunyai potensi yang besar dalam rawatan kesihatan kerana ia memiliki keupayaan membahagi dan merangsang pembentukan sel-sel tisu yang tercedera atau rosak. Oleh itu, sel stem mampu membaik pulih dan mengembalikan semula fungsi tisu yang tercedera atau rosak.

Sel stem mempunyai potensi yang besar dalam bidang ortopedik. Banyak penerbitan penyelidikan saintifik telah merumuskan bahawa sel stem mempunyai kesan terapeutik dalam penyembuhan rawan, tendon, ligamen, tulang dan otot yang telah rosak. Di samping itu, sel stem juga berpotensi untuk memulihkan struktur dan mengembalikan fungsi asal tisu yang telah rosak.